Monday, September 27, 2010

Menjadi Manusia Yang Hebat


Salam buat pembaca sekalian.
Hari ini satu tajuk yang begitu teruja untuk kita kongsi bersama agar sama-sama dapat kita merubah diri kita menjadi manusia yang hebat.
Pernah tak kita dengar atau lihat perkataan SMILE. Nampak ringkas, tapi mampu mengubah tingkahlaku kita menjadi orang yang hebat. Mungkin kali pertama pembaca mentafsirkannya dengan SENYUM. Ya .. senyum juga adalah penawar kepada kemarahan dan ubat kepada kesabaran. Hebat bukan!.Itulah kehebatan ciptaan Ilahi. Tetapi apa yang saya maksudkan di sini adalah akronim perkataan yang diringkaskan menjadi SMILE.

S- membawa maksud sincerely yang maknanya kita buat kerja secara ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran. Kerja buat kita semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah dan menjadikan diri kita sebagai hamba yang lemah dan taat kepada perintah-Nya.

M- membawa maksud MINDFUL iaitu tahu serba serbi.Maksudnya kita jangan menjadi seperti kerbau masuk kampung yang tidak tahu apa-apa. Kita kena tahu serba sedikit berita-berita semasa contohnya supaya dapat kita berkongsi dan bercerita apabila berada di sesuatu tempat dan jangan jadi kera sumbang.

I- membawa maksud INDUSTRIAL iaitu bukannya industri seperti kilang tu tapi ia memmbawa maksud rajin. Peribahasanya ringan tulang.Kalau kita rajin, ke mana sahaja kita pergi akan disukai orang kecuali orang yang ada perasaan hasad dengki.Tapi untuk menjadi manusia yang hebat kita kena rajin mengkaji, membaca dan meneroka maklumat-maklumat baru untuk menambah ilmu sedia ada dan menajamkan fikiran serta dapat melontarkan idea yang bernas untuk kebaikan semua.

L- membawa maksud LOVING. Bukannya loving seperti pasangan kekasih yang sedang memadu asmara. Maksudnya kita kena ada sifat kasih sayang dan ingin menyayang dalam konteks hubungan kekeluargaan , rakan sebaya. Perasaan kasihan belas dan tolong menolong seharusnya ada dalam diri jika mahu menjadi manusia yang hebat. Menghargai anugerah yang dipinjam oleh Allah kepada kita,dan tidak menimbulkan kesusahan kepada orang lain amatlah dititikberatkan. Maka, amalkan loving dalam hidup kita.

E- membawa maksud EARNEST. Maksudnya bersungguh-sungguh dalam membuat sesuatu perkara.Dengan adanya sifat sedemikian kerja yang diberi tidak akan tertangguh dan tidak menyusahkan orang lain kiranya ia ada hubungkait dengan orang lain.

Insya-Allah dengan amalan sifat dan ciri di atas sebagai budaya dalam hidup kita akan menjadikan kita manusia yang paling bahagia dan berjaya di dunia dan akhirat. Sekian.

Tuesday, July 6, 2010

Pantun Kalau Guru...Apa Guna


Buat guru-guru Malaysia...

Kalau guru malas membaca,
ilmu diajar tidak tentu punca.
Kalau guru tidak bersedia,
Dalam kelas banyak bercerita.
Kalau guru sentiasa sibuk,
Murid di kelas hiruk pikuk.
Kalau guru tak sukakan pelajar,
Tiada berkat ilmu diajar.
Kalau guru tak galak mencuba,
Murid sekadar asyik menerima.
Kalau guru suka berdamping,
Semuaa murid dapat dibimbing
Kalau guru menunggu arah,
Semua kerja kena kerah.
Kalau guru kenal pelajar,
Di luar sekolah dia tak liar.
Kalau guru kurang merancang,
Dalam kelas banyak temberang.
Kalau guru banyak tahu,
Bimbinglah dia agar berilmu.
Kalau guru ada kepandaian,
Bantulah dia dengan kemudahan.
Apa guna menjadi GURU,
Kalau fikiran masih BERCELARU.
Apa guna menjadi PELAJAR,
Kalau masih BERKURANG AJAR.

Renung-renungkanlah di manakah kita sekarang...

Tuesday, June 29, 2010

Tawaran Permohonan Gc 2010

Salam sejahtera buat rakan-rakan semua.Maklumat terbaru bagi semua rakan pendidik yang ingin memohon jawatan guru cemerlang yang tarikh akhir pada 29 Julai 2010,anda bolehlah mengklik pada pautan website Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti yang telah disediakan untuk mendapat maklumat lanjut. Terima kasih.

Friday, June 11, 2010

Mari Mengenali Personaliti Anak-anak Kita

11 Jun 2010 (Jumaat)

Salam sejahtera buat pembaca semua.Sekali lagi saya menjengah ke laman blog akademikbuletin.blogspot.com untuk berkongsi maklumat yang pada pandangan saya wajar dikongsi bersama untuk dijadikan panduan dalam mendidik anak-anak kita.Tajuk kita kali ini adalah mengenali personaliti anak-anak kita supaya kita boleh membina kekuatan dan membantu mengatasi kelemahan mereka.
Bagaimana kita boleh mengesannya.Sumbernya melalui sifat-sifat dan kerja-kerja yang ditunjukkan oleh mereka.Antaranya,

1. Personaliti pengarah (director)
Personaliti anak sebegini dikatakan mempunyai kekuatan akal.Apa sahaja yang dikehendaki mesti diperolehi dan mereka tahu apa yang dikehendaki dan cuba mencapainya dengan apa cara sekalipun.Sebagai ibubapa, kekuatan ini seharusnya digunakan dengan bijak agar matlamat kanak-kanak dapat dicapai dengan baik.Dari segi motivasi kanak-kanak sebegini tiada masalah dan perlukan sedikit bimbingan dan bantuan supaya matlamat mereka lebih terarah dan betul.Pastikan juga mereka menggunakan cara-cara yang betul ke arah pencapaian matlamat supaya tidak menyakiti perasaan orang lain misalnya membantu mereka supaya mengenal atau memahami perasaan orang lain.Kita perlu menunjukkan jalan-jalan yang perlu mereka ikuti dengan memberi alasan yang baik.Sebaliknya jika kita hanya menunjukkan kuasa atau kekerasan,anak-anak juga hendak menunjukkan kekuasaan mereka.Jika kita pandai gunakan kuasa ,anak-anak dengan sendirinya akan menghormati kita.

2. Personaliti bersosial (socialiser)

Kawan yang ramai biasanya akan diperolehi oleh mereka yang mempunyai personaliti sebegini.Kadang-kadang kawan mereka dibawa ke rumah selepas pulang dari sekolah.Dalam pembelajaran pula, mereka gemarkan belajar secara berkumpulan kerana lebih mudah memahami.Mereka perlu bersama-sama dengan orang lain.Personaliti sebegini menyeronokkan kerana mudah bergaul dengan sesiapa sahaja.Kita boleh galakkan mereka berkawan tetapi perlukan bimbingan supaya kawan yang dipilih adalah bersesuaian.Penerapan nilai-nilai Islam peringkat awal kanak-kanak amat perlu supaya mereka bijak memilih kawan yang baik.Personaliti sebegini juga suka dihormati,diagungkan atau pengiktirafan daripada orang lain terutama pada kerja-kerja mereka.Namun begitu,aspek kekemasan misalnya kekemasan bilik tidur kurang diberi perhatian oleh personaliti sebegini.

3. Personaliti Pengaman

Personaliti sebegini sifatnya lebih pendiam,mudah terima arahan dan mudah mengalah.Anak-anak sebegini patuh pada arahan tanpa bantahan.Namun perlu diberi perhatian bahawa mereka juga mempunyai perasaan tidak puas hati.Anak sebegini dikatakan kurang mempunyai inisiatif dalam berbuat sesuatu kerana mereka lebih mendengar arahan.Sifatnya terlalu sensitif dan tidak mahu melukakan hati orang lain.Ibubapa perlu mendidik mereka supaya mengenal kekuatan yang ada pada diri mereka sendiri supaya dapat menyuarakan isi hati mereka yang tidak disenangi.Kita perlu bersama-sama mereka supaya mereka dapat meluahkan perasaan.Anak-anak sebegini biasanya menjadi orang tengah atau pengaman dalam situasi pertengkaran adik beradik.Mereka lebih disenangi tetapi waspada mereka juga ada perasaan .Jangan kita menunggu mereka bertanya sebaliknya kita perlu banyak bertanya kepada mereka dengan cara yang lembut.

4. Personaliti berfikir (thinker)

Personaliti ini lebih suka bersendirian.Ada kawan tetapi tidak ramai serta pandai memilih kawan.Kerja yang dilakukan lebih tersusun dan teliti .Mungkin mereka mempunyai sedikit masalah dari segi pergaulan.Jadi di sinilah peranan ibubapa membina kekurangan yang mereka miliki dijadikan kekuatan dengan melatih mereka bagaimana hendak bergaul dengan orang lain.Pujian harus diberi kepada mereka.
Selain itu,mereka memerlukan sesuatu yang terancang.Jadi kita perlu membantunya bagaimana hendak merancang supaya sesuatu itu bersistematik dan memberi kesan yang baik.

Thursday, June 10, 2010

Aura Manusia

Jumaat, 11 Jun 2010.

Hari Jumaat adalah hari yang cukup bermakna buat semua umat Islam kerana pada hari ini banyak kelebihannya dan banyak perkara yang boleh manusia lakukan.Di sebelah Pantai Timur hari Jumaat adalah hari cuti manakala di sebelah Pantai Barat hari berkenaan masih lagi memerlukan manusia bekerja bagi yang berkerjaya.Namun begitu, semuanya sama kerana sama-sama menuntut pahala mencari rezeki untuk diri dan keluarga.
Hari ini juga saya ingin berkongsi tentang aura dalam kehidupan manusia.Kalau dulu,ketika zaman akademi fantasia sedang rancak diperkatakan oleh segelintir manusia , tidak dinafikan gelombang aura Mawi sering dikaitkan sehingga dia menjadi juara dan tersohor pada waktu itu.
Menurut pengamal rawatan Reiki,Mir Hazil Azran Ramli dari MindbodySoul Energize melalui Seminar 7 Keajaiban Aura di Hilday Villa,Subang anjuran Innergy Quest bio-Concept menyatakan bahawa " aura itu adalah gelombang cahaya yang terpancar di luar tubuh manusia atau benda hidup.Manusia mempunyai sistem yang lengkap untuk menyerap tenaga cahaya,kemudian pecah menjadi tujuh warna seperti warna pelangi.Gelombang warna yang sama akan menjadi cerah.
Tenaga diserap melalui pancaran di mata,telinga,hidung,mulut dan kulit.Rambut dan kulit umpama antena dan mampu menyerap gelombang tenaga di persekitaran kita dan masuk ke dalam badan.Antara rahsia bersolat lima kali sehari adalah mengambil wuduk dengan membasahkan sebahagian anggota badan.Apabila dibersihkan, ia dapat berfungsi dengan keupayaan "lebih tinggi'."
Mengikut Mir Hazil, "Tenaga adalah kudrat yang mampu menembusi sistem aura melalui antena dan disimpan dalam sistem chakra.Terdapat tujuh chakra utama dalam tubuh kita iaitu chakra dasar(warna merah),chakra emosi (jingga),chakra pusat (kuning),chakra jantung (hijau),chakra komunikasi (biru),chakra ajna(indigo) dan chakra mahkota (violet). Aura terpancar keluar apabila ada tenaga mengalir dalam badan lalu membiaskan warna-warna yang aktif mengikut tahap.Jika kita faham tentang chakra, kita boleh gunakan untuk kekuatan tenaga pada diri."
Menurutnya lagi, warna-warna itu menghasilkan personaliti seseorang kerana setiap warna mempunyai fungsi yang berbeza-beza.Penjanaan tenaga perlu dijaga untuk penggunaan fizikal dan perwatakan psikologi.Sebagai contoh,ibu-ibu yang bersedih,resah,risau memerlukan tenaga hijau untuk kekuatan tenaga jantung dan paru-paru.Kanak-kanak pula tidak digalakkan memakai baju berwarna jingga kerana ia menjadikannya lebih aktif.
Bayi yang baru lahir sering mendapat penyakit kuning.Ini berlaku apabila bayi sebelum ini bergantung kepada sumber tenaga daripada ibunya kemudian terpaksa berdikari.Di hospital, bayi tersebut akan diberi rawatan dengan meletakkannya di bawah sinaran lampu berwarna biru.Mengikut orang tua,bayi dijemur bawah sinaran matahari pada waktu pagi yang baik untuk kulit.
"Aura yang dijana melalui emosi,spritual dan mental boleh melahirkan aura positif.Ada orang kelihatan cantik dan kacak tetapi seperti ada yang tidak kena.Ini bermakna pancaindera kita beraksi.Melalui teknologi komunikasi, kita mendapat maklumat daripada pancaran gelombang.
Jika hendak suara sedap, kena banyakkan minum air kosong.Air datangnya dari langit dan langit itu berwarna biru.Kita digalakkan minum air sekurang-kurangnya tujuh gelas sehari.Amalan mandi sebelum subuh dapat menghadkan sistem kita.Suhu sejuk merupakan tahap penjanaan maksimum. Apabila tiada tenaga,'mood' hilang dan jiwa lebih beremosi."
Untuk penjagaan tenaga aura kita boleh mengambil sumber melalui air,alam,pemakanan,pemilihan warna dan senaman. Aura positif mampu menaikkan seri muka,kesihatan badan serta rezeki bertambah.
Menurut Mir Hazil ada 7 keajaiban aura antaranya :

1. Aura stamina- terletak pada chakra dasar (bahagian paling bawah). Ia mempunyai kekuatan gelombang merah.Fungsinya untuk membekalkan tenaga pada sistem darah,tulang,otot dan saraf manusia.Dari segi psikologi harmoni,perwatakannya bersifat aktif,praktikal,lasak,kuat,stabil dan cergas.Ketidakseimbangannya menyebabkan masalah pada sistem tekanan darah,penyakit tulang,lesu,pemarah,berfikiran sempit.Bayi yang baru lahir kulinya warna kemerahan.Pada peringkat awal , bayi perlukan susu ibu yang bertukar menjadi darah berwarna merah.Ia akan menjana ke seluruh sistem badan agar menjadi lebih kuat.

2. Aura sukses - terletak di chakra pusat iaitu di sudut hati.Ia membekal gelombang warna kuning yang menjana kejayaan.Bahagian ini merupakan pusat tenaga untuk kesihatan organ fizikal termasuk hati,limpa,perut,pankreas,hempedu dan ginjal.Gelombang kuning menyumbang tenaga untuk pemikiran kreatif,logik,cergas dan bijaksana serta berpendirian.Ketidakseimbangannya menyebabkan masalah gastrik,diabetis, mata dan hati.Psikologi negatif akibat kekurangannya adalah pemarah, dendam, celupar, keliru dan gopoh.

3. Aura stabil - berada pada chakra jantung yang membekalkan gelombang hijau yang merupakan bahagian penting untuk mengawal tenaga bagi organ paru-paru,jantung dan kalenjar thymus yang mengawal sistem imun tubuh.Hijau adalah gabungan warna kuning dan biru yang mengimbangi antara tiga warna panas iaitu merah,jingga dan kuning dan tiga warna sejuk iaitu biru,indigo dan violet.Psikologi harmoni bagi gelombang hijau menyumbangkan perwatakan pintar,terbuka,sabar,tabah,matang,mesra,stabil dan kasih sayang.Kekurangannya menyebabkan rasa sensitif,sedih,benci,malu,cemburu dan pendam rasa.Hijau dikaitkan dengan agama.Makanan hijau seperti sayuran baik untuk darah dan sistem imun.

4. Aura segar - pada chakra komunikasi membekalkan gelombang biru.Terletak di tengah leher yang menjana tenaga pada organ peti suara,kerongkong,tiroid dan para tiroid.Psikologi harmoni warna ini menyumbang kepada bijak bicara, tenang,penyayang dan setia.Biru merupakan tenaga penghubung dan mengawal selera.Jika tenaga biru tidak seimbang, masalah pada kerongkong dan komunikasi akan terganggu.Mengikut orang tua, penyakit beguk boleh diubati dengan menyapu nila berwarna biru.Orang yang mempunyai aura biru yang kuat dikatakan mempunyai suara yang baik.

5. Aura sensual - berada pada chakra ajna yang membawa gelombang indigo. Ia adalah mata ketiga chakra yang dapat menjana minda,menajamkan visi,merancang,mengawal kelenjar pituitari,telinga,hidung,sistem saraf dan sebagainya.Psikologi harmoninya membawa gerak hati yang kuat,peka,perancang,bijak,jujur,semangat,imaginasi dan berkepimpinan.Ketidakseimbangannya menyebabkan masalah mata,telinga,hidung,sinus,sakit tengkuk,resdung,alahan dan insomnia.

6. Aura spritual - terletak pada chakra mahkota (kepala) yang membawa gelombang violet.Ia merupakan tingkat tertinggi yang menghubungkan sistem-sistem lain dengan sistem pusat manusia iaitu otak.Fungsinya mengawal kestabilan minda dan juga dikatakan talian hayat yang menghubungkan manusia dengan dunia luar terutama Tuahan Maha Pencipta.Kedudukannya di ubun-ubun kepala berfungsi sebagai pusat pengaliran tenaga roh. Aura berwarna violet atau keputih-putihan ini menjaga kelenjar pineal dan sistem minda.Psikologi harmoninya termasuklah berkarisma,unik,deria otak yang peka,sempurna,semangat tinggi,rasional dan holistik.Ketidakseimbangannya membawa penyakit nyanyuk,histeria,down syndrom,epilesi,sakit kepala,migrain dan darah tinggi.Untuk meningkatkan tenaga spritual,ia perlukan penghayatan dan penghalusan melalui amalan berbentuk kerohanian seperti zikir dan amal ibadah lain.

7. Aura seksual- terletak pada chakra emosi yang mempunyai gelombang jingga(separas dengan pusat) yang membekal tenaga pada organ fizikal termasuk usus besar,usus kecil,ginjal punding kencing,bahagian peranakan dan kesuburan.Psikologi harmoninya membawa kepada kepuasan,keinginan,keyakinan,kreatif,artistik,positif,riang dan berani.Ketidakseimbangannya menyebabkan masalah sistem perkumuhan,peranakan,seksual,penakut,emosional .Warna jingga merupakan kombinasi antara warna merah dan kuning.Jika warna jingga tidak dijana,minda menjadi lembab dan murung.

Kesimpulannya,setelah pembaca membaca artikel ini, renunglah aura kita di mana dan cubalah tingkatkan dan baiki di mana ada kekurangan kita gantikan dengan kebaikan dan di mana ada kebaikan kita sama-sama gandakan semoga rahmat Allah sentiasa bersama kita semua.
Sekian..Wassalam.

Sentiasa maniskan wajah depan anak-anak

Salam bicara kali ini.Dalam keadaan tenang sambil membelek-belek bahan bacaan dan apa-apa sahaja yang ada kat depan mata untuk merehatkan minda, saya terbaca satu tulisan oleh saudara Mohd Huzairi Zainuddin seorang perunding motivasi tentang 40 kesilapan mendidik anak-anak yang boleh kita kongsi sama-sama agar dapat membentuk anak-anak yang soleh dan solehah di kalangan ibubapa antaranya:
1.Sering marah-marah dan mempamerkan wajah bengis depan anak-anak.
Pada saya, inilah yang mungkin kita terlepas pandang atau terlupa yang memungkinkan kita salah seorang yang termasuk dalam kategori di atas.Kalau kita renung,kebanyakan kita mempamerkan sikap yang begitu baik sekali bila bersama dengan teman-teman siap dengan bergurau senda dan gelak ketawa tetapi apabila melangkah sahaja ke rumah,secara automatik segala perwatakan tadi boleh berubah.Ke mana perginya wajah ceria dan periang tadi? Kenapa layanan kepada kawan-kawan lain sementara kepada keluarga sendiri lain.Bukankah elok kalau layanan di rumah lebih meriah lagi.Kenapa harus wujudkan rumah yang "berbahang" di mana penghuninya berada dalam kepanasan.Hal ini sememangnya tidak adil terutama kepada anak-anak yang tidak tahu apa-apa.
Sebagai ibubapa seharusnya peranan dimainkan secara lebih berkesan terutama sekali dalam mencipta suasana ceria demi pembangunan sahsiah anak-anak.
GARANG harus bertempat.Cuba kita renung, ke manakah anak-anak kita hendak pergi,apatah lagi hendak mengadu?.Bagaimana mereka dapat menelaah pelajaran terutama dalam suasana tegang ? Justeru, tidak hairan ramai anak-anak yang dibesarkan dalam suasana yang tidak kondusif, jarang yang cemerlang baik dari segi pencapaian akademik mahupun dari segi sahsiah.
Anak-anak tadi cuba mencipta "kebahagiaan" dengan cara tersendiri.Mudah dipengaruhi unsur luar terutama pengaruh rakan sebaya malah gejala-gejala sosial mudah menjalar dan mengalir di kalangan mereka.Jadi mari kita sama-sama berperanan dalam membina kebahagiaan dalam rumah tangga dan kembali kepada konsep "rumahku syurgaku".Wang ringgit dan kemewahan bukan segala-galanya pada hari ini kerana kebejatan sosial terlalu parah pada hari ini.Lihat sahaja kes pembuangan bayi,kes dadah, kes rogol yang terpampang di dada akhbar amat menggusarkan kita.
Anak-anak amat perlukan kehadiran ibubapa di kalangan mereka agar hidup mereka lebih bermakna.Wajah ibu yang mencuka dan ayah yang bengis sangat menekan perasaan anak-anak terutama anak-anak yang dalam proses pembesaran.
Oleh itu, marilah kita sama-sama memaniskan muka agar anak-anak mudah mendekati kita dan senyumlah banyak-banyak bila berhadapan dengan keluarga sendiri semoga Allah murahkan rezeki buat kita semua...wassalam

Sunday, June 6, 2010

Bengkel Teknik Menjawab Soalan Perdagangan

Pada Bulan Mei dan Jun kebanyakan sekolah akan mengadakan program atau kem kecemerlangan akademik sama ada peringkat SPM,STPM dan PMR.
Justeru, ramailah guru-guru yang ada kebolehan dan pengetahuan berkongsi idea dan pengalaman dalam bidang mata pelajaran masing-masing dijemput untuk menyumbang tenaga bagi membantu pelajar-pelajar supaya dapat menyempurnakan tanggungjawab mereka dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang bakal menjelang pada hujung tahun ini.
Atas kepercayaan itu, saya juga tidak terlepas untuk sama-sama berganding bahu mencurahkan keringat dan pengalaman serta tenaga bagi memastikan warga pelajar daerah Besut mendapat manfaatnya...


Melalui program sebegini banyak perkara yang pelajar boleh pelajari antaranya latihan menjawab dan cara menjawab dengan betul didedahkan kepada pelajar agar jawapan yang diberi tidak terpesong dari apa yang ditanya.
Selain itu,beberapa pelajar berkongsi idea dan berbincang sesama sendiri dalam sesi refleksi soalan modul menjawab soalan menggunakan modul teknik menjawab mata pelajaran perdagangan bagi pelajar SMA Ittifakiah Besut yang dikendalikan oleh saya.Apalagi berlumba-lumba mereka berusaha memberikan yang terbaik...SYABAS !!!!

Saturday, May 29, 2010

Bahang Cuti Sekolah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Minggu depan bermula 04/06/2010 sekolah dah mula cuti selam dua minggu.Maka beraya sakan pelajar-pelajar kita kerana dapat cuti panjang.Namun jangan lupa periksa dah dekat buat anak-anak pelajar yang nak exam pmr,spm dan stpm tahun ni.Suka-suka jugak tapi jangan lupa masa depan kita bergantung kepada result periksa tu nanti.Kalau boleh buatlah homework dan kerja yang mana patut dan jadi murid biasa yang luar biasa dari segi akademiknya.Biar orang lihat kita cemerlang dari sudut luar dan dalam dan segala fiil dan tingkahlaku.
Bagi guru-guru pula jangan lupa anda ada tanggungjawab yang besar dalam mendidik anak bangsa sebab itu dalam cuti ni ada jadual kelas tambahan yang tersergam indah untuk tatapan anda semua.Semua tu untuk anak didik kita juga.Kan kita ni lilin mestilah berkorban untuk agama,bangsa dan negara kita.
Pada kesempatan ini, rasanya kita masih lagi dalam suasana sambutan hari guru,maka belum terlambat untuk saya nak ucapkan "Selamat Hari Guru" kepada semua guru di Malaysia dan hayatilah slogan "Guru Pembina Negara Bangsa".Sekian.