Thursday, June 10, 2010

Sentiasa maniskan wajah depan anak-anak

Salam bicara kali ini.Dalam keadaan tenang sambil membelek-belek bahan bacaan dan apa-apa sahaja yang ada kat depan mata untuk merehatkan minda, saya terbaca satu tulisan oleh saudara Mohd Huzairi Zainuddin seorang perunding motivasi tentang 40 kesilapan mendidik anak-anak yang boleh kita kongsi sama-sama agar dapat membentuk anak-anak yang soleh dan solehah di kalangan ibubapa antaranya:
1.Sering marah-marah dan mempamerkan wajah bengis depan anak-anak.
Pada saya, inilah yang mungkin kita terlepas pandang atau terlupa yang memungkinkan kita salah seorang yang termasuk dalam kategori di atas.Kalau kita renung,kebanyakan kita mempamerkan sikap yang begitu baik sekali bila bersama dengan teman-teman siap dengan bergurau senda dan gelak ketawa tetapi apabila melangkah sahaja ke rumah,secara automatik segala perwatakan tadi boleh berubah.Ke mana perginya wajah ceria dan periang tadi? Kenapa layanan kepada kawan-kawan lain sementara kepada keluarga sendiri lain.Bukankah elok kalau layanan di rumah lebih meriah lagi.Kenapa harus wujudkan rumah yang "berbahang" di mana penghuninya berada dalam kepanasan.Hal ini sememangnya tidak adil terutama kepada anak-anak yang tidak tahu apa-apa.
Sebagai ibubapa seharusnya peranan dimainkan secara lebih berkesan terutama sekali dalam mencipta suasana ceria demi pembangunan sahsiah anak-anak.
GARANG harus bertempat.Cuba kita renung, ke manakah anak-anak kita hendak pergi,apatah lagi hendak mengadu?.Bagaimana mereka dapat menelaah pelajaran terutama dalam suasana tegang ? Justeru, tidak hairan ramai anak-anak yang dibesarkan dalam suasana yang tidak kondusif, jarang yang cemerlang baik dari segi pencapaian akademik mahupun dari segi sahsiah.
Anak-anak tadi cuba mencipta "kebahagiaan" dengan cara tersendiri.Mudah dipengaruhi unsur luar terutama pengaruh rakan sebaya malah gejala-gejala sosial mudah menjalar dan mengalir di kalangan mereka.Jadi mari kita sama-sama berperanan dalam membina kebahagiaan dalam rumah tangga dan kembali kepada konsep "rumahku syurgaku".Wang ringgit dan kemewahan bukan segala-galanya pada hari ini kerana kebejatan sosial terlalu parah pada hari ini.Lihat sahaja kes pembuangan bayi,kes dadah, kes rogol yang terpampang di dada akhbar amat menggusarkan kita.
Anak-anak amat perlukan kehadiran ibubapa di kalangan mereka agar hidup mereka lebih bermakna.Wajah ibu yang mencuka dan ayah yang bengis sangat menekan perasaan anak-anak terutama anak-anak yang dalam proses pembesaran.
Oleh itu, marilah kita sama-sama memaniskan muka agar anak-anak mudah mendekati kita dan senyumlah banyak-banyak bila berhadapan dengan keluarga sendiri semoga Allah murahkan rezeki buat kita semua...wassalam

No comments:

Post a Comment